Gr0up maMbEr

Gr0up maMbEr

Sunday, 13 April 2014

P&P yang kurang berkesan


P&P guru yang bersahsiah (BERKESAN)


Perkaitan Sahsiah Guru Dengan Pendidikan


Guru merupakan insan yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan sistem pendidikan. Oleh sebab itu, seseorang guru itu perlu menanamkan dan mengamalkan nilai-nilai yang tinggi dalam diri mereka agar kredibiliti sebagai pendidik dapat dikekalkan dan dimantapkan.  Terdapat beberapa aspek yang berkaitan dengan sahsiah guru yang dapat meningkatkan profesionalisma iaitu aspek motivasi, komunikasi, dan kepimpinan.

Aspek Motivasi
Seorang guru akan menjadi guru yang baik dan disegani sekiranya beliau kekal bermotivasi terhadap diri sendiri dan juga orang lain, khususnya kepada para pelajar. Persekitaran adalah amat penting untuk membantu para guru supaya sentiasa bermotivasi. Melalui sokongan dari segi moral dan material, seseorang itu akan terus kekal dengan momentum tahap motivasi yang sentiasa tinggi.
Apabila seseorang guru itu bermotivasi, dia akan mempunyai keinginan untuk menyampaikan pengajaran dengan bersungguh-sungguh. Guru yang bijak memiliki sifat-sifat dan kemampuan untuk mempengaruhi dirinya sendiri, iaitu membina keyakinan, seterusnya membina strategi pengajaran yang berkesan.



Aspek Komunikasi
Komunikasi adalah salah satu aspek penting dalam perkaitan antara personaliti guru dengan pendidikan. Komunikasi ialah proses pengkongsian maklumat atau menyediakan hiburan melalui pertuturan, penulisan atau kaedah-kaedah lain. Dalam konteks pendidikan pula yang mana melibatkan komunikasi antara guru dengan murid, ia lebih menjurus kepada penampilan guru, arahan, cara berkomunikasi, dan sikap semasa proses pembelajaran dan pengajaran berlaku.



Aspek Kepimpinan
Satu lagi perkara penting dalam pembentukan sahsiah manusia ialah dari segi kepimpinan. Tugas guru juga melibatkan kepimpinan. Guru perlu memiliki gaya kepimpinan yang tinggi untuk mengatasi segala permasalahan yang berlaku di sekolah sama ada masalah pembelajaran pelajar di dalam kelas mahupun masalah tingkah laku pelajar. Hal ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi serta cara seseorang guru itu mengendalikan masalah tersebut dengan bijak. 

isu Positif perkaitan GURU BERSAHSIAH

Guru perlu bersahsiah
Muhyiddin berucap pada Forum Pendidikan Dunia 2014 di London, semalam. - Foto BERNAMA
Penerapan nilai, etika dan kerohanian dalam sistem pendidikan global adalah penting untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, selain menolak dilema ‘pendidikan tanpa roh,’ kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam ucaptamanya pada Forum Pendidikan Dunia 2014 di sini, semalam, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia penting untuk melahirkan insan sahsiah dan berketerampilan. 
Muhyiddin, yang juga merupakan menteri pendidikan berkata, beliau percaya ketamadunan dan pembangunan kemanusiaan yang bersandarkan nilai itu akan mempengaruhi pemikiran dan keputusan dibuat manusia. 
“Peranan agama dan pendidikan agama tidak boleh diketepikan daripada sistem pendidikan kita.

“Menidakkan nilai, etika dan kerohanian tidak lagi boleh diterima kerana lebih 5 bilion penduduk dunia mengamalkan agama masing-masing.
“Falsafah pendidikan Malaysia juga dibina atas nilai itu. Kejayaan dan pengalaman Malaysia sebagai negara berbilang agama dan budaya boleh digunakan untuk menyeimbangi kesan pendidikan sekular,” katanya.
Forum pendidikan terbesar tahunan itu dihadiri 114 menteri pendidikan dari seluruh dunia. 
“Dalam aspek itu, perlu juga ada kaedah baru untuk mengukur prestasi pendidikan (negara), selain penanda aras konvensional seperti Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Pentaksiran Murid Antarabangsa (PISA).
“Ini sesuai dengan nilai Timur yang melihat ‘pembelajaran adalah mengenai kehidupan dan bukan mengenai memilikinya’ seperti sekarang,” katanya.
Muhyiddin berkata, walaupun banyak kemajuan dicapai dalam isu akses kepada pendidikan sejak 2000, 57 juta kanak-kanak masih tidak bersekolah, manakala dua pertiga daripada buta huruf dewasa adalah wanita.


Dasar lebih adil

“Dasar dan strategi pendidikan mesti adil dan inklusif supaya ia menyediakan ruang saksama untuk semua kanak-kanak di semua peringkat menimba ilmu.
“Dalam konteks keadilan gender, perlu ada perhatian khusus berhubung akses pendidikan untuk wanita dan kanak-kanak perempuan,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri juga menekankan kepentingan pendidikan untuk pembangunan mapan (ESD) dalam melaksanakan agenda global untuk masa depan.
Katanya, transformasi dalam aspek ini memerlukan integrasi antara keperluan tradisi dan persekitaran baru bagi memastikan masyarakat pada masa depan terus menikmati kualiti hidup yang baik.
Muhyiddin berkata, atas kesedaran itu juga, Malaysia merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan rancangan komprehensif bagi masa depannya.
“Kita mahu rakyat Malaysia yang melalui sistem pendidikan mempunyai semua nilai diperlukan untuk menjadi masyarakat global.
Malaysia menekankan pendidikan Islam dan moral, menggalakkan sekolah mengambil bahagian dalam projek atau aktiviti dengan sekolah rakan dari negara lain.
“Kami juga menggalakkan usaha sama antara universiti kita dengan universiti antarabangsa yang mempunyai cawangan di Malaysia, pada peringkat kakitangan dan pelajar,” katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, meningkatkan kesedaran pelajar mengenai cabaran dihadapi manusia di seluruh dunia akan menjadi komponen penting pendidikan.
SIFAT POSITIF
Kerohanian atau rohani merujuk kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan roh. Rohani yang baik dapat membawa kebaikkan kepada seseorang guru dan apabila seseorang guru mempunyai sifat rohani guru tersebut mampu mendidik atau mengubah sifat moral seseorang pelajar.
Selain itu, seorang guru juga harus memiliki sifat ketamandunan yang tinggi dimana dengan adanya sifat ketamadunan seorang guru itu mampu berfikir dengan lebih matang dalam mendidik para pelajar di sekolah. Sekaligus perkara-perkara negatif dapat dihindari dengan lebih baik
Selain itu juga seseorang guru harus mempunyai nilai keagamaan yang baik tidak kira pegangan seseorang guru tersebut kerana setiap agama yang dianuti tidak pernah mengajar untuk melakukan kejahatan kepada  orang lain termasuk para pelajar walaupun pelajar tersebut agak nakal.
Selain itu para pendidik juga harus bersifat adil atau tidak pilih kasih sebagai contoh melayani pelajar perempuan dengan lebih lemah lembut disamping hanya memberi perhatian kepada pelajar yang mempunyai keputusan akademik yang baik sahaja malah guru harus bersifat adil Antara pelajar dengan pelajar yang lain



 Guru perlu ada sifat unggul
KES guru bertindak keterlaluan terhadap murid hingga mendatangkan kecederaan masih dilaporkan. Sepatutnya perkara ini tidak terjadi memandang kepada status guru sebagai pendidik yang sepatutnya membimbing murid menjadi insan lebih baik.

Tugas seorang pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, mereka juga bertanggungjawab membina akhlak mulia kepada anak murid. Mengajar bidang apa sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan itu. 
“Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik”

Dalam zaman serba moden dan mencabar, kerjaya sebagai guru juga penuh dengan cabaran hingga ada segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika.

Guru perlu sentiasa ingat bahawa mendidik murid memerlukan kesabaran dan nilai kasih sayang yang tinggi. Tanpa adanya dua sifat itu, guru pasti berhadapan dengan masalah. Sebagai mukmin, panduan ditunjukkan Rasulullah SAW boleh diamalkan semasa menjalankan tugas mendidik.

Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW yang mempamerkan perwatakan luhur pendidik. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik, katanya: “Sedang kami berada di dalam masjid bersama-sama Rasulullah SAW, seorang Badwi telah datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti! Namun Rasulullah SAW berkata: Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri. Oleh demikian mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya, kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara-perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid ini adalah tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu membuang air kencing.”

Apa yang dapat kisah iktibarkan daripada kisah itu? Pertama, jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauhnya menghadapi sesuatu keadaan. 
Baginda menggunakan pendekatan menegur kesalahan seseorang secara berhemah dan lemah lembut dengan disertakan penjelasan terperinci mengenai kesalahan yang dilakukan. Inilah pendekatan sepatutnya diamalkan guru dalam proses pendidikan.

Rasulullah SAW bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mengajar perkara yang patut diketahuinya bukan dengan memarahi.

Kriteria guru unggul

Imam al-Ghazali menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah pelajar dan menerimanya dengan baik. Guru juga hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya. 

Guru yang penyayang dan penyabar akan menjadi seorang guru yang berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai sabar dan penyayang itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa hasil nikmat sabar itu sangat memberkati usaha gigihnya mendidik.

Diriwayatkan daripada Abu Musa, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya perumpamaan hidayah (petunjuk) dan ilmu Allah yang menjadikan aku sebagai utusan itu seperti hujan yang turun ke bumi. Di antara bumi itu terdapat sebidang tanah subur yang menyerap air dan sebidang tanah itu rumput hijau tumbuh subur. Ada juga sebidang tanah yang tidak menumbuhkan apa-apa, walaupun tanah itu penuh dengan air. Padahal Allah menurunkan air supaya manusia dapat meminumnya, menghilangkan rasa haus dan menanam. Ada juga sekelompok orang yang mempunyai tanah gersang yang tidak ada air dan tidak tumbuh apapun di tanah itu. Gambaran itu seperti orang yang mempunyai ilmu agama Allah dan mahu memanfaatkan sesuatu yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah, kemudian orang itu mempelajari dan mengerjakannya. Dan seperti orang yang sedikitpun tidak tertarik dengan apa yang telah menyebabkan aku diutuskan oleh Allah. Dia tidak mendapat petunjuk daripada Allah yang kerananya aku utusan-Nya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

 Guru kaunseling mampu jadi petugas barisan hadapan cegah LGBT di sekolah

KUALA TERENGGANU: Guru kaunseling mampu menjadi petugas barisan hadapan bagi mencegah penyebaran fenomena Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, untuk tujuan tersebut, guru kaunseling mesti dilengkapi dengan pengetahuan dan pemahaman simptom LGBT untuk menawarkan nasihat untuk mana-mana pelajar yang terlibat.
"Guru kaunseling ini kalau mereka ada kemahiran, kefahaman secara umum memberi penerangan, motivasi, kesedaran, keinsafan dalam isu seperti ini mampu membantu pelajar di peringkat sekolah sebenarnya.

"Guru kaunseling mesti memahami perkara sendiri untuk memberi penjelasan serta membawa pelajar kembali ke jalan yang betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan dalam menangani LGBT peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Seminar sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya.- Bernama
Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04

Memahami para pelajar
Mental yang baik merupakan ciri seorang guru yang cerdas tidak kira samaada kepintaran teori, amali atau sosial. Guru seperti ini mampu menguasai mata pelajaran yang diajar dengan baik dan mempunyai luas pengetahuan am serta mempunyai kemahiran dalam mengenal ciri, watak dan keperluan murid dan petah dalam penyampaikan ilmu.

 Selain itu guru perlu ada sifat kejiwaan akan menunjukkan sifat seorang cikgu yang tenang dan emosi yang mantap. Sentiasa optimistik dalam hidup dan jiwa yang tenang dalam mendidik karenah para pelajar. Selain itu,guru tersebut juga bersifat kesantunan, bahasa, Bahasa yang digunakan lemah lembut dan baik dalam pergaulan.  Berfikiran selesa dan boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat.

Isu semasa mengenai sahsiah guru ( Isu guru yang negatif )


 Isu guru ponteng
Contoh artikel surat khabar berkenaan guru ponteng

Guru  ponteng  sebelum cuti dikenal pasti
KOTA BELUD 1 Jun - Jabatan Pelajaran mengenal pasti terdapat segelintir guru di negeri ini 'ponteng' sekolah untuk pulang ke kampung masing-masing sebelum cuti sekolah bermula.
Pengarah Pelajaran Negeri, Dr. Muhiddin Yussin berkata, perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah baru-baru ini.
"Jabatan kami sedang menunggu laporan rasmi bertulis daripada jemaah nazir itu sebelum mengambil tindakan yang perlu sebab guru-guru tidak dibenarkan meninggalkan sekolah mereka sebelum cuti penggal bermula.
"Jadi mulai sekarang Jabatan Pelajaran negeri akan lebih serius dalam menangani kes-kes disiplin (di kalangan guru-guru dan kakitangan) di semua sekolah di negeri ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penutupan program 'Ke Arah Kecemerlangan Akademik' di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad di sini semalam.
Beliau mengulas mengenai aduan ibu bapa bahawa terdapat sebilangan guru di negeri ini khususnya yang berkhidmat di pulau-pulau pulang ke kampung sebelum cuti penggal bermula.
Menurut aduan, guru berkenaan dikatakan meninggalkan sekolah mereka seawal 24 Mei sedangkan cuti sekolah bermula pada 5 Jun.
Muhiddin berkata, jabatan pelajaran sentiasa serius dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan di sekolah-sekolah di negeri ini dan akan mengambil tindakan tegas terdapat guru yang melanggar disiplin.
"Jika terbukti benar mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya tanpa mengira siapa mereka.
"Jika ketidakhadiran mereka memerlukan tindakan disiplin kita akan melakukannya berdasarkan perintah Am Perkhidmatan Awam sedia ada," katanya




Menurut Kamus Dewan, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Kita sering mendengar pelajar sering ponteng sekolah dan ini bukan sesuatu yang baru. Namun, gejala negatif ini sedang dikurangkan tetapi isu ponteng dalam kalangan guru adalh sesuatu yang jarang didengar dan merupakan ancaman yang profesion perguruan di Malaysia. Guru yang sering ponteng kelas boleh disebabkan oleh beberapa punca. Antaranya ialah, bebanan dan cabaran kerja itu sendiri. Guru tidak mampu menangani stres apabila berhadapan dengan kerja yang banyak atau berhadapan dengan pelajar yang bermasalah seperti merokok, membuli dan sebagainya. Guru perlu memastikan kualiti bahan-bahan pengajaran sentiasa standard dan selalu dikemaskinikan bagi membantu mempermudah pemahaman pelajar dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Guru juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah-masalah disiplin pelajar yang menyebabkan tekanan emosi seterusnya menyebabkan guru mula meninggalkan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka atau dengan istilah yang lebih tepat, ponteng. Ponteng kerja semestinya menjadi jalan paling mudah untuk guru melepaskan rasa tekanan mereka biarpun perkara ini bukanlah sesuatu yang baik untuk dilakukan. Tambahan pula, guru yang ditempatkan di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan yang lengkap seperti bekalan air dan elektrik mudah hilang semangat dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan seterusnya akan menyumbangkan berlakunya kes ponteng dalam kalangan guru.


Kepentingan membina sahsiah sebagai seorang guru


Kami guru Malaysia, Berikrar dan berjanji
Mendidik dan memimpin, Putra putri negara kita Pada Seri Paduka
Kami tumpahkan setia, Rukun Negara kita
Panduan hidup kami semua
Di bidang pembangunan
Kami tetap bersama
Membantu, membina
Negara yang tercinta
Amanah yang diberi
Kami tak persiakan
Apa yang kami janji
Tunai tetap kami tunaikan




           Guru dianggap sebagai individu yang kaya dengan sumber maklumat, berperanan dalam mendidik dan membimbing pelajar dengan ilmu pengetahuan.Peranan yang dipikul oleh seseorang guru bukan sahaja terhad kepada pelajar, malah turut melibatkan bagaimana seorang guru membantu rakan sekerja serta dirinya sendiri agar sama-sama dapat menjalankan kewajipan tugas dengan sempurna.Oleh itu, adalah penting untuk guru mahupun bakal guru untuk mengetahui dan memahami kepentingan sahsiah diri.
            Secara umumnya, ciri-ciri sahsiah termasuk keunikan dengan maksud tersendiri, kesesuaian atau keupayaan untuk berubah hasil pembelajaran dan organisasi.Dengan perkataan lain, ia bukan sekadar himpunan tingkah laku,tetapi melibatkan corak tingkah laku dan operasi yang bersifat konsisten.Sahsiah merangkumi empat aspek iaitu kognitif, rohani, fizikal dan sosial.

Antara kepentingan membina sahsiah diri terhadap seorang guru ialah ;
                (a)     dapat mencorakkan kendiri individu yang berperanan  sebagai piawaian ke arah      pencapaian  dalam kehidupan.
-          sahsiah diri seseorang itu juga dipengaruhi oleh peristiwa-peristiwa yang telah dilalui pada masa lalu.Pengalaman yang diperolehi daripada masa lampau sama ada pengalaman yang pahit mahupun yang manis akan mempengaruhi sahsiah diri seseorang.Pengalaman tersebut seterusnya akan dimanipulasikan  sebagai satu garis panduan dalam menjalani kehidupan pada masa hadapan.Para guru juga akan menjadikan pengalaman pada masa lalu untuk memperbaiki tugasnya.
(a)   membantu individu menjangkakan dan meramal tingkah laku seseorang
-          pengalaman yang dilalui oleh seseorang di dalam kehidupan dan interaksi yang berlaku dengan pelbagai individu di persekitarannya akan mewujudkan erti kemurnian peradapan individu.
-          guru dapat menjalankan tugasnya dengan lebih baik sekiranaya dia dapat membuat jangkaan dan ramalan terhadap tingkah laku yang dipamerkan oleh rakan sekerja dan murid-murid
-          maka, seseorang guru dapat merancang dan lebih peka terhadap tindak balas yang bersesuaian dengan situasi atau keadaan yang dihadapinya.

(b)    individu mampu berikhtiar mengawal kehidupannya sekiranya dia dapat memerihalkan sahsiah diri secara menyeluruh
-          Apabila individu dapat memahami individu lain dengan baik, bijak membuat keputusan dan berupaya menyelesaikan masalah secara berkesan, ia sebenarnya bermula dengan keupayaan seseorang itu memerihalkan sahsiah secara menyeluruh dan objektif.

(c)    perubahan sahsiah adalah satu proses pertumbuhan kendiri yang memberi kesan langsung terhadap tahap produktiviti diri serta pendekatan sosial
-          Amalan dan gaya hidup guru akan memberi kesan ke atas tahap penerimaan pengajaran dan pembelajaran kepada muridnya.
(d)   guru dapat mengenal pasti keupayaan dan potensi yang dimiliki oleh muridnya
-          guru yang mampu mengenal pasti keupayaan dan potensi yang dimiliki oleh muridnya akan berusaha menggalakkan mereka melibatkan diri dalam mana-mana peluang, khasnya dalam proses pengajaran dan pembelajaran, mahupun dalam aktiviti kokurikulum secara optimum

-          seterusnya, keyakinan diri murid akan menjadi lebih positif dan meningkat kerana guru dapat memahami personaliti murid dari perspektif menyeluruh dan tidak terhadap dari satu kaca mata sahaja.

Cara untuk seorang guru membina sahsiah


Pada hakikatnya, guru bukan hanya berperanan sebagai seorang pendidik tetapi seseorang individu yang bergelar guru juga mempunyai peranan sebagai pengganti ibu bapa, kaunselor, pembimbing dan rakan di sekolah.Jelaslah tugas guru penting dalam membentuk manusia ke arah kebaikan meliputi mendidik, mengajar dan melatih.Mendidik boleh didefinisikan sebagai meneruskan dan mengembangkan nilai hidup, mengajar bererti meneruskan dan mengembangkan ilmu pengetahuan dan teknologi.Manakala  melatih pula bermaksud mengembangkan keterampilan kepada pelajar.Oleh itu, bagi memastikan tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, seorang guru itu haruslah mempunyai sahsiah diri yang unggul.
         Antara cara untuk seseorang guru membina sahsiah ialah dengan cara ;


(a)   melakukan sesuatu amalan atau adat yang baik dalam keluarga.
-          pembentukan sahsiah diri seseorang haruslah dipupuk sejak kecil lagi.Hal ini kerana, sahsiah diri yang diamalkan sejak kecil lagi akan menjadi kebiasaan kepada seseorang.Seandainya sesuatu amalan yang telah menjadi kebiasaan dalam sesebuah keluarga itu kurang baik, dia seharusnya mengelakkan daripada melakukan amalan tersebut dan menggantikannya dengan perbuatan yang lebih baik.


(b)   guru haruslah jelas dengan amanah mereka yang sebenar
-          guru yang jelas akan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka akan berusaha menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang akan menunjukkan personaliti yang kurang baik.Seterusnya para guru ini akan berusaha melahirkan insan yang seimbang dari segi ilmu serta akhlak moral agar segala ilmu yang diperoleh dapat disalurkan kepada kebaikan demi kepentingan agama, bangsa, dan negara.


(c)    sentiasa mendapatkan sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan
-          untuk menjadi seorang guru yang baik dan sentiasa disenangi oleh murid-murid serta setiap orang di sekelilingnya, dia seharusnya menjadi individu yang sentiasa bermotivasi.Persekitaran yang penuh dengan sokongan dari segi moral dan material akan membantu seseorang itu untuk terus kekal dengan momentum tahap motivasi yang sentiasa tinggi.
-          sokongan yang kuat akan meningkatkan minat guru terhadap profesion perguruan seterusnya membuatkan mereka bersungguh-sungguh menjalankan tanggungjawab mereka dalam keadaan yang gembira.


(d)   berusaha memahami personaliti diri sendiri dan orang lain
-          seseorang guru yang sering berinteraksi dengan orang di sekelilingnya akan lebih mudah memahami personaliti setiap orang yang berbeza-beza mengikut pengamatannya.Ujian personaliti diri juga boleh dilakukan bagi memahami personaliti diri  sendiri dan juga orang lain.
-         
seseorang guru yang memahami tentang personaliti dapat menyampaikan pengajaran yang lebih berkesan kerana guru tersebut dapat memahami manusia yang berhadapan dengannya.Pelajar pula akan lebih menghormatinya kerana dia bertindak mengikut keadaan sesuai dengan personaliti seseorang itu.

Monday, 7 April 2014

Ciri-ciri guru bersahsiah


            Amanah
Ciri utama sesorang guru yang bersahsiah ialah beramanah iaitu sifat tanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Manakala dalam aspek islam amanah bermaksud  satu mandat atau tanggungjawab yang dititipkan kepada seseorang untuk menjalaninya dengan rasa tanggung jawab. Seorang guru yang mempunyai sikap amanah akan menjalankan tugas yang diberikan dengan sempurna tanpa menyeleweng dan cuai. Seorang guru itu juga akan bersikap jujur dalam pentadbiran sekolah dan tidak sewenangnya akan menyalahgunakan kuasa dan kedudukan. Guru yang amanah tidak akan cuai dalam pengurusan masa dimana para guru tidak menggunakan masa pejabat untuk kegunaan peribadi. Sekiranya berlaku penyalahgunaan kuasa dalam organisasi, guru yang bersahsiah ini akan melaporkan masalah tersebut kepada pihak atasan. Hal ini demikian kerana, rasa tanggungjawabnya untuk melapor sebarang penyalahgunaan kuasa kepada pihak atasan.
            Benar
Guru yang bersahsiah biasanya akan membenarkan hatinya dan perasaannya iaitu dengan mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu perkara tanpa mengharapkan balasan dan imbuhan dari pihak atasan. Seorang guru perlulah bercakap benar dan tidak bercakap bohong serta menepati janji dalam sesuatu perkara. Hal ini demikian kerana, guru tersebut akan lebih dipercayai dan akan diberi tanggungjawab yang lebih besar lagi. Guru yang bersahsiah itu rela berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama dan demi masa depan anak muridnya.
Bijaksana
Seorang guru yang mempunyai sifat bijaksana sememangnya merupakan ciri seorang guru yang bersahsiah unggul. Seorang guru perlulah mempunyai kognitif yang bijaksana dalam membuat keputusan sesuai dengan masa dan keadaan. Guru yang bersahsiah tidak boleh mengambil jalan mudah untuk menjayakan sesuatu tugasan yang dipertanggungjawabkan. Guru tersebut perlulah menggunakan seluruh potensi, keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugasan. Dalam masa yang sama, seorang guru perlulah tidak berputus asa dalam semua perkara yang diilakukan. Sebaliknya, guru tersebut perlu berfikir secara rasional dan membuat pertimbangan secara yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Walau bagaimanapun, guru perlu sentiasa cuba untuk meningkatkan ilmu serta kepakaran dalam semua perkara bagi memudahkan proses pembelajaran pelajar.
            Penyayang
Ciri-ciri sahsiah yang wajib ada pada seorang guru ialah penyayang. Guru perempuan biasanya merupakan seorang yang penyayang. Dimana guru perempuan mempunyai sifat memahami, menghargai dan mengambil berat akan anak muridnya. Selain itu, sifat pemaaf dan penyayang serta tidak berdendam, sombong dan suka meninggi diri ada pada seorang guru perempuan. Guru lelaki tidak kurangnya, ada yang lebih penyayang berbanding perempuan. Tetapi secara puratanya guru perempuan lebih penyayang berbanding guru lelaki. Seorang guru yang penyayang perlulah sentiasa bertimbang rasa dan mengambil berat dalam melaksanakan tugas  dimana menjadikan orgaanisasi sebagai sebuah keluarga yang besar.
            Ikhlas
Iklas merupakan salah satu nilai murni yang ada pada guru yang bersahsiah. Seorang guru yang bersahsiah perlulah ikhlas atau mempunyai hati cuci dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan balasan. Pada masa yang sama guru tersebut menerima tanggungjawab dengan rela hati malah tidak berpura-pura atau mengelak daripada tanggungjawab. Para guru tersebut akan menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi iaitu meningkatkan pencapaian dan kualiti  para pelajar. Guru yang ikhlas dalam pekerjaan biasanya bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati yang terbuka serta menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan.
            Dedikasi

Guru yang dikatakan bersahsiah perlulah berdedikasi. Dedikasi bermaksud berminat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterus untuk menghasilkan kerja yang berkualiti. Dimana, seorang guru tidak mudah berasa jemu dan bosan serta bersedia untuk menerima tugas tanpa mecari lelah. Malah sanggup berkorban masa dan tenaga demi kepentingan para pelajar bagi membentuk pelajar yang bersahsiah seperti gurunya. Para guru juga tidak mudah berputus asa dan tekun serta berifat positif dalam melaksanakan tugas dengan berkualiti. Perkara yang paling penting, guru tersebut menjalanknan tugas dan tanggungjawab dengan sabar, teliti, dan ceria, tidak cuai dan tegas.

Salam perkenalan..:)

Assalamualaikum....Tujuan kami buat blog ini adalah untuk membincangkan dan memberitahu perkara berkaitan guru. Penubuhan blog ini adalah untuk menarik minat bakal guru dan guru untuk meminati bidang ini. Disamping masa yang sama untuk mengubah personaliti bakal guru ataupun guru itu sendiri untuk menjadi guru yang cemerlang sejajar dengan dasar pendidikan negara.



       Oleh itu, eloklah saya memperkenalkan ahli kumpulan saya. First yang depan sebelah kiri itu Atikah, Hajar iaitu saya sendiri dan Noratikah. Manakala barisan belakang pula dari kiri Fauzan dan LEya, Harneeta dan FAzlan. Kami merupakan ahli kumpulan yang sangat sporting, xda sebarang masalah apabila bekerja-sama..hUhuhuhu...